NOTIS PENUTUPAN DAN LENCONGAN JALAN SEMPENA PROGRAM SEMARAK DAKWAH-ACP HAJI DZULBAHARIN

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 22 JULAI – Polis di sini akan melaksanakan penutupan sementara serta lencongan lalu lintas di beberapa laluan utama pada Sabtu, 25 Julai ini bersempena Program Semarak Dakwah Peringkat Daerah Lahad Datu yang akan berlangsung di Masjid Ar-Raudah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hj Dzulbaharin bin Hj Ismail, berkata penutupan jalan akan bermula dari jam 5.00 petang hingga 10.30 malam bagi memastikan kelancaran perjalanan program serta menjamin keselamatan orang ramai.

Menurut beliau, laluan yang akan ditutup sepenuhnya membabitkan Jalan Pantai di hadapan Masjid Ar-Raudah bermula dari Lampu Isyarat Ramai-Ramai sehingga ke Pusingan U (U-Turn) Masjid Ar-Raudah melibatkan kedua-dua arah.

Beliau berkata, pengguna jalan raya dari Simpang PPM dan Jalan Singamata Point akan dilencongkan melalui Pusingan U menuju ke Bulatan Kastam Baharu sebagai laluan alternatif.

“Jalan lencongan khas turut disediakan bagi memudahkan pergerakan penduduk di kawasan Singamata Point, PPM Lahad Datu dan kawasan sekitarnya,” katanya pada Rabu.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal dengan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan sepanjang tempoh penutupan jalan.

ACP Hj Dzulbaharin turut mengingatkan semua pengguna jalan raya agar mematuhi arahan anggota polis dan petugas yang ditempatkan di lokasi serta sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas bagi memastikan keselamatan semua pihak.

Beliau berharap kerjasama daripada orang ramai dapat membantu melancarkan perjalanan program serta memastikan urusan kawalan lalu lintas berjalan dengan teratur sepanjang berlangsungnya Program Semarak Dakwah Peringkat Daerah itu.

Share This Article