KOTA KINABALU,10 JUN-Rampasan dadah terbesar tahun ini di Sabah menyaksikan polis merampas syabu bernilai hampir RM8 juta selepas menahan tiga individu dalam satu operasi khas yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar ibu negeri pada Mei lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah itu berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 18 hingga 49 tahun yang dipercayai berperanan dalam rangkaian pengedaran dadah.
Beliau berkata, tindakan awal pasukan polis terhadap seorang suspek lelaki membawa kepada penemuan sejumlah syabu dalam sebuah kotak yang sedang dikendalikannya sebelum suspek cuba meloloskan diri.
Perkembangan siasatan kemudian membawa pasukan penyiasat ke beberapa premis lain termasuk sebuah kediaman di Luyang, sebuah hotel dan sebuah pangsapuri di Inanam yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan bahan terlarang itu.
“Hasil keseluruhan operasi menemukan 156 bungkusan syabu seberat 159.8 kilogram dengan nilai pasaran dianggarkan RM7.99 juta,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk ke Sabah menggunakan kenderaan dari Semenanjung sebelum disorok bagi mengaburi pihak berkuasa.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati sindiket terbabit dipercayai menjadikan Sabah sebagai destinasi edaran selain transit untuk penghantaran bekalan ke luar negara.
Jauteh menegaskan polis akan terus mempergiat usaha membanteras sindiket pengedaran dadah dan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
