KIMANIS, 7 JUN – Sebuah blok kilang pengering kayu di Kilang Kayu NWP, Kimanis musnah kira-kira 90 peratus dalam kebakaran yang berlaku petang semalam.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 6.32 petang sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, jentera pertama tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian selepas menempuh perjalanan sejauh enam kilometer.
“Kebakaran melibatkan sebuah blok kilang pengering kayu berukuran kira-kira 25 x 300 kaki dan dianggarkan terbakar sebanyak 90 peratus.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan empat pancutan air yang diperoleh daripada jentera serta pili bomba berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi pemadaman diketuai Komander Operasi, PBK II Mohd Arif Awang Sulaiman dan melibatkan seramai 13 anggota daripada BBP Kimanis serta BBP Papar.
Turut membantu dalam operasi berkenaan ialah Sabah Electricity bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan terlibat berada dalam keadaan selamat.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.32 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.35 malam selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi bahaya yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
