WARGA EMAS HILANG KETIKA CARI SARANG BURUNG WALIT DALAM GUA TAPADUNG

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 1 JUN – Seorang warga emas dilaporkan hilang selepas dipercayai sesat ketika menjalankan aktiviti mencari sarang burung walit di dalam Gua Tapadung, Segama, di sini.

Mangsa, Ismail Ibrahim, 61, dikatakan memasuki gua berkenaan bersama dua rakannya pada Selasa lalu sebelum dilaporkan hilang sejak lima hari lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pada jam 2.10 petang,kelmarin.

Susulan laporan diterima seramai lapan anggota BBP Lahad Datu bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Fire Rescue Vehicle (FRV) dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 36 kilometer dari balai.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat awal, dua rakan mangsa keluar dari gua untuk mendapatkan bekalan air minuman dengan meninggalkan Ismail bersendirian di dalam gua.

“Apabila mereka kembali semula ke dalam gua, mangsa didapati sudah tiada dan gagal dikesan.

“Usaha pencarian awal yang dilakukan oleh kedua-dua rakannya juga tidak berjaya menemukan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, keluarga mangsa yang berada di Sandakan telah dihubungi dan mengesahkan Ismail belum pulang ke rumah sejak memasuki gua berkenaan.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan mangsa yang masih hilang.

“Sehingga petang ini, operasi SAR masih diteruskan dan mangsa belum ditemui,” katanya.

Operasi pencarian dijangka diteruskan sehingga mangsa berjaya ditemukan atau terdapat perkembangan baharu daripada pasukan penyelamat.

Share This Article