KOTA KINABALU, 1 JUN-Seramai 300 individu ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai terlibat dalam satu program dan aktiviti berkaitan kumpulan Jemaat Ahmadiyah Qadiani yang diadakan di Dewan SM Lok Yuk, Likas, hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot bin Syed Ab Rahman, berkata operasi penguatkuasaan itu dijalankan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) susulan aduan awam diterima pada 28 Mei lalu berhubung penganjuran Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Ke-32 yang berlangsung sejak 29 hingga 31 Mei 2026.
Katanya, hasil semakan mendapati program berkenaan dikaitkan dengan Jemaat Ahmadiyah Qadiani yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah serta diwartakan pada tahun 2007.
“Daripada jumlah yang ditahan, 12 individu dikenal pasti sebagai pemimpin dan penganjur utama manakala 288 lagi merupakan ahli jemaah. Program ini turut dihadiri kepimpinan tertinggi Jemaat Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) serta ahli dari beberapa daerah di Sabah,” katanya.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut merampas 24 helai banting memaparkan pengasas serta pemimpin tertinggi kumpulan berkenaan selain kira-kira 200 buku dan bahan bacaan berkaitan ajaran tersebut.
Turut dirampas ialah dokumen program, senarai kehadiran, bahan penerbitan dan pelbagai dokumen lain yang mempunyai kaitan dengan aktiviti kumpulan terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 52(1), Seksyen 52A dan Seksyen 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995.
Menurut Syed Lot, semua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut oleh pihak JHEAINS sebelum dibebaskan dengan jaminan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan panduan agama daripada sumber sahih dan diiktiraf serta merujuk pihak berkuasa agama sekiranya mempunyai keraguan berkaitan ajaran atau fahaman agama yang disebarkan.
