KOTA KINABALU ,1 JUN -Pendekatan kerajaan terhadap peruntukan khas berasaskan 40 peratus hasil negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sudah tentu berasaskan kepada kebijaksanaan.
Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Beaufort, Haji Mohd Jali Nordin berkata, kepimpinan kerajaan yang diketuai oleh Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Nor sudah tentu mengutamakan kepentingan negeri dan juga rakyat.
“Kita menyokong pendekatan yang diambil oleh kerajaan…tindakan berhemah itu lebih berkesan berbanding menghebah-hebohkan tetapi tiada tindakan,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika metasmikan sambutan Pesta Kaamatan di Penampang pada Sabtu menyatakan tekad Kerajaan Madani melaksanakan Pemberian Khas Sabah berasaskan 40 peratus hasil negeri yang diperuntukan dalam MA63.
Mengenai peningkatan Pemberian Khas Interim Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion, Mohd Jali berkata peningkatan itu sememangnya amat wajar kepada Sabah.
“Peningkatan pemberian khas itu sedikit sebanyak membantu usaha melaksanakan pembangunan dan kemajuan negeri ini serta untuk rakyat.
“Kepimpinan kerajaan sentiasa berusaha demi negeri dan juga rakyat …pemberian khas itu diharap dapat disegerakan,” katanya lagi.
