PEMINDAHAN 207 PATI KE NEGARA ASAL DILAKSANAKAN JIM SABAH

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 24 April – Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah melaksanakan pemindahan seramai 207 tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negara asal dalam satu operasi bersepadu melibatkan depot-depot imigresen di seluruh negeri.

Daripada jumlah itu, 192 individu merupakan warganegara Indonesia manakala 15 lagi adalah rakyat Filipina. Kesemua tahanan berusia antara satu bulan hingga 63 tahun dan dipindahkan bersama penjaga masing-masing yang sah.

Menurut pihak berkuasa, kumpulan berkenaan terdiri daripada 134 lelaki dewasa, 41 wanita dewasa, 15 kanak-kanak lelaki serta 17 kanak-kanak perempuan. Mereka telah selesai menjalani hukuman sebelum proses pemindahan dilakukan menggunakan dokumen perjalanan yang lengkap.

Siasatan mendapati tahanan terbabit dipercayai melakukan kesalahan imigresen termasuk memasuki negara tanpa dokumen sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sehingga kini sebanyak 1,838 warga asing telah dihantar pulang ke negara asal melalui pintu masuk di Sabah sebagai sebahagian daripada usaha berterusan penguatkuasaan undang-undang imigresen.

Pihak imigresen menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan kemudahan pas atau permit. Majikan dan pemilik premis yang didapati menggaji warga asing tanpa dokumen sah turut berdepan tindakan undang-undang mengikut peruntukan sedia ada.

Share This Article