SANDAKAN, 6 APRIL-Kumpulan Ormond memperluaskan portfolio hospitalitinya di Malaysia dengan pembukaan hotel baharu Ormond Sandakan yang dijadualkan mula beroperasi pada April.
Hotel berkenaan yang terletak di bandar pesisir Sandakan menawarkan pengalaman penginapan yang menggabungkan keselesaan moden dengan keindahan semula jadi Borneo.
Ormond Sandakan dibangunkan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kehadiran kumpulan itu di Malaysia selepas kejayaan hotel Ormond sedia ada termasuk di Kuala Lumpur.
Menghadap Teluk Sandakan hotel ini menyediakan 299 bilik yang direka dengan teliti dilengkapi pemandangan laut yang luas serta pencahayaan semula jadi bagi memberikan suasana tenang dan selesa kepada tetamu.
Ketua Pegawai Eksekutif Ormond Group Navin Singh berkata, pembukaan hotel itu mencerminkan komitmen syarikat dalam menawarkan pengalaman hospitaliti yang autentik dan bermakna.
Katanya, Sandakan dipilih kerana keunikan landskapnya yang menggabungkan warisan sejarah, biodiversiti serta keindahan alam semula jadi yang jarang ditemui.
“Melalui Ormond Sandakan, kami membawa falsafah hospitaliti yang menitikberatkan keselesaan, keikhlasan dan pengalaman bermakna kepada destinasi yang benar-benar mencerminkan nilai tersebut,” katanya.
Selain penginapan, hotel ini turut menawarkan pelbagai kemudahan termasuk restoran berinspirasikan hasil laut tempatan, kafe moden serta ruang santai dengan pemandangan laut.
Tetamu juga boleh menikmati pelbagai aktiviti menarik termasuk lawatan ke Sepilok Orangutan Rehabilitation Centre, Turtle Islands Park dan pelayaran di Sungai Kinabatangan.
Dalam masa sama, hotel ini menyediakan ruang acara seluas 620 meter persegi yang mampu menampung sehingga 800 tetamu sesuai untuk majlis perkahwinan, persidangan dan acara korporat.
Terletak dalam kawasan bandar warisan Sandakan, Ormond juga memberi akses mudah kepada pasar tempatan, pelabuhan serta pelbagai tarikan pelancongan.
Pembukaan hotel ini dijangka merancakkan lagi sektor pelancongan Sabah serta menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke Sandakan.
