KOTA KINABALU-30 DIS, Barisan Nasional (BN) Sabah mengumumkan Mohd Ismail Ayob sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang dijadualkan berlangsung pada 24 Januari ini.
Pengumuman dibuat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin pada Majlis Bersama Media di Bangunan UMNO Sabah, di sini, Selasa.
Jafry berkata, pemilihan Mohd Ismail yang sebelum ini bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) dibuat atas pertimbangan pendekatan calon perpaduan, selaras dengan keperluan mengurangkan konflik politik serta memastikan kestabilan pentadbiran negeri.
Menurutnya, Mohd Ismail akan dicalonkan melalui kapasiti keahlian terus Barisan Nasional sebagai strategi politik berasaskan institusi bagi memperkukuh kerjasama, merapatkan jurang politik dan memastikan kesinambungan agenda pembangunan rakyat.
“Pengukuhan kedudukan BN di Kinabatangan bukan sekadar persaingan pilihan raya, sebaliknya satu keperluan strategik demi kestabilan politik negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu juga sejajar dengan semangat Kerajaan Perpaduan yang menekankan kemakmuran, kerjasama serta tadbir urus berasaskan konsensus.
Pada majlis sama, Jafry turut mengumumkan semula Mohd Naim Kurniawan Moktar sebagai calon BN bagi PRK Parlimen Kinabatangan, sebagaimana diumumkan sebelum ini oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, Mohd Naim yang juga Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan dilihat memenuhi keperluan kepimpinan pelapis dengan sokongan akar umbi serta keupayaan menterjemahkan aspirasi rakyat, khususnya dalam landskap politik yang semakin dipengaruhi sentimen pengundi muda.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.
