TAWAU — Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, meneruskan pendekatan turun padang pada saat-saat akhir kempen bagi mendekati pengundi dan memahami keperluan masyarakat di kawasan itu.
Katanya, pendekatan tersebut memberi ruang untuk beliau berinteraksi secara lebih dekat dengan penduduk selain mengukuhkan hubungan dengan masyarakat setempat.
“Alhamdulillah, hari ini jadual saya dipenuhi dengan mengunjungi rumah ke rumah, menyantuni masyarakat khususnya pengundi-pengundi Apas.
“Malam ini pula kita mengambil kesempatan untuk walkabout di Pasar Malam Chester. Kawasan ini merupakan kawasan tumpuan jadi saya dapat bertemu dengan lebih ramai penduduk Apas,” katanya ketika ditemui di Pasar Malam Chester.
Menurutnya, sambutan mesra penduduk meningkatkan lagi keyakinannya serta menguatkan semangat untuk terus memperjuangkan pembangunan dan agenda kerajaan di kawasan berkenaan.
“Mereka gembira melihat saya turun sendiri bertemu mereka, malah melaungkan nama GRS. Ini memberi motivasi untuk saya membawa masuk hala tuju pembangunan yang telah dirancang bagi Apas,” katanya.
“Kita santai-santai, gembira-gembira sahaja di sini. Suasana begini beri kesan positif kepada masyarakat yang kita jumpai. Mereka rasa dekat dengan kita dan inilah cara untuk mengajak mereka bersama mengundi GRS,” jelasnya.
Ditanya mengenai komitmennya sekiranya menang Nizam menegaskan bahawa khidmat sebagai wakil rakyat tidak bermusim dan akan diteruskan segera sekiranya diberi mandat.
“Menjadi wakil rakyat bukan bermusim, tetapi kita kena sentiasa bersama masyarakat. Kita akan teruskan usaha mewujudkan bandar baharu serta menaik taraf infrastruktur yang masih banyak perlu diperbaiki di kawasan ini. Jika diberi kepercayaan sekali lagi Insya-Allah kita akan capai pembangunan yang dirancang,” katanya.
TAMAT
