KENINGAU: Seorang cedera dan dua maut dalam kemalangan
Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan di Kampung Bariawa Ulu, di sini pagi Khamis.
Kemalangan itu membabitkan sebuah lori yang membawa muatan telur dan ketiga-tiga mangsa adalah lelaki.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, PBK I Ranizan Samirin berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 9.08 pagi sebelum sebuah jentera FRT dan EMRS dengan kekuatan tujuh anggota digerakkan ke lokasi kejadian kira-kira enam kilometer dari balai.
Pasukan itu tiba pada jam 9.15 pagi.
Sebaik tiba pasukan mendapati lori terbabit telah terbabas dan terbalik di tepi jalan.
Seorang mangsa yang mengalami kecederaan ringan berjaya keluar sendiri dari kenderaan manakala dua lagi mangsa tersepit di bahagian papan pemuka dan dihempap struktur lori.
Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas penyelamatan jalan raya (RTA) serta Telescopic Ram secara manual (Hand Foot Pump) bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.
Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi.
Mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk rawatan lanjut manakala dua mangsa yang maut diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.59 tengah hari setelah pihak bomba memastikan tiada risiko lain di lokasi.
TAMAT
