BANDAR SERI MILIAN MAMPU MENGUBAH LANSKAP KOTA KINABATANGAN

KINABATANGAN (15 OGOS): Bandar baharu Seri Millian mampu mengubah pembangunan Kota Kinabatangan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata ia membuka peluang yang terbaik buat rakyat di daerah ini.

“Bandar baharu ini berupaya mengangkat aktiviti ekonomi rakyat …banyak peluang boleh diperolehi,” katanya kepada media di sini hari ini.

Hajiji sebelum itu telah melakukan pecah tanah bandar tersebut

Ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah bandar itu, Hajiji berkata atas sebab itu, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangka dengan jelas pembangunan untuk Sabah, termasuk di daerah ini.

“Kita ada rekod membantu rakyat dan mengangkat ekonomi rakyat melalui tiga bidang utama iaitu perindustrian, pelancongan dan pertanian,” katanya

Berikutan itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS meminta rakyat di DUN Lamag dan Sukau supaya membuat pilihan yang tepat pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

Katanya, rakyat di kawasan ini perlu mengubah nasib mereka supaya tidak ketinggalan berbanding daerah lain.

“Hanya parti kerajaan yang boleh menyumbang kesejahteraan dan GRS ialah parti yang menjadi kerajaan pada masa ini. InsyaAllah kerajaan GRS akan tetap menjadi kerajaan selama satu penggal lagi selepas PRN nanti.

“Yang penting rakyat kita sokong, guna akal budi untuk membuat pertimbangan, jangan terlalu percaya media sosial yang lebih banyak fitnah dan bohong.

“Kita tidak mahu masyarakat kita begitu, kita mahu masyarakat kita positif, buat kerja yang baik untuk mencari rezeki yang baik dan mahukan kemajuan diri, keluarga serta masyarakat, bukan fitnah dan maki setiap hari,” katanya.

Mengenai projek bandar baharu Seri Milian di Kota Kinabatangan, Hajiji berkata ia bakal menjadi ‘game changer’ yang bakal membawa perubahan besar di Kinabatangan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Dalam hal lain, Hajiji yang ditanya pemberita mengenai soal calon PRN17, berkata perkara itu akan ditentukan parti apabila sudah tiba masanya.

“Tetapi biasalah pilihan raya, pasti bertanding antara satu sama lain. Sabah ini paling banyak parti di Malaysia, ada lebih 24 parti dan kita raikan demokrasi, siapa mahu bertanding, tanding,” katanya.

Sempena majlis itu, Hajiji turut menyerahkan sebanyak 255 geran deraf PANTAS untuk DUN Lamag melibatkan keluasan 582.426 hektar (1,439.21 ekar) kepada penduduk kampung, geran tanah Majlis Daerah Kinabatangan seluas 157.48 ekar dan 3 geran deraf PANTAS DUN Sukau dengan keluasan 16.224 Hektar (40.09) ekar.

Tamat