TIADA ALASAN BULI DIBENARKAN DI SEKOLAH- REDONAH

Redonah menyaksikan aktiviti murid-murid di sekolah pada majlis hari keluarga PIBG 2025 SK Kota Marudu II.

KOTA MARUDU: Apa juga alasan buli harus tidak dibenarkan di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi.

Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda berkata, kes buli sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan.

Ianya amat membimbangkan sehingga ada mangsa yang bunuh diri bahkan dibunuh dan sebarang bentuk atau alasan melindungi pembuli adalah sangat tidak wajar, katanya.

” Bagi pandangan saya yang juga sebagai seorang ibu, di negara kita ini bukannya seperti di negara-negara lain yang ada sistem kasta, kita semua sama sahaja, tiada istilah ‘kau siapa, kau anak siapa’ tidak sepatutnya.

” Sematkan dalam diri bahawa kuasa yang ada bukan untuk menindas, bahkan kesedaran dan didikan untuk jauhi buli wajar bermula daripada rumah, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak tahu apa itu buli, hindari membuli dan hindari jadi mangsa buli.

” Semua pihak juga perlu memainkan peranan untuk sama-sama berusaha memastikan tidak berlaku kes buli, cuba wujudkan persekitaran prihatin dan bersikap ambil tahu, laporkan kepada pihak bertanggungjawab sekiranya menyedari ada unsur buli berlaku khususnya di sekolah.

Redonah berkata demikian ketika ditemui pada majlis Hari keluarga PIBG 2025 SK Kota Marudu II dekat sini baru-baru ini.

Menurut Redonah, majlis tersebut bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya wahana penting dalam merapatkan hubungan antara pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat sekeliling.

” Setiap kali saya ke sekolah-sekolah sama ada sekolah rendah, sekolah menengah ataupun institusi pengajian tinggi, saya akan ingatkan berkaitan dengan kes buli ini, kesedaran awal khasnya daripada murid-murid, anak-anak kita, bermula daripada rumah,

” Sebelum melangkah ke sekolah, kes buli ini harus kita berikan didikan kepada anak-anak apa itu kes buli, supaya anak-anak ini tidak menjadi pembuli atau yang dibuli.

” Bagi mengelakkan daripada dibuli, berikan pendidikan kepada anak-anak ini supaya bersuara dan menyampaikan, jangan diamkan, dan juga kena berjaga-jaga dengan persekitaran.

” Pengalaman saya sebagai seorang ibu, saya ajar anak saya untuk bercakap bagi melaporkan sekiranya ada kesan-kesan sama ada perkataan atau apa sahaja mahupun benda kecil. Kerana buli tercetus biasanya bermula daripada benda kecil yang dibiarkan.

Redonah juga menasihatkan ibu bapa khususnya agar menekankan didikan agama, menyemai sifat sopan santun, menghargai kawan-kawan dan menerapkan nilai-nilai murni terutamanya keperihatinan dan kasih sayang.
Tamat