LAHAD DATU (3 November): Parti Warisan menafikan dakwaan bahawa parti itu menormalisasikan budaya lompat parti.
“Ini bukan lompat parti ..ini gelombang penyatuan rakyat Sabah,” kata presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Beliau berkata, kemasukan beberapa ahli politik ke dalam Warisan tidak boleh dianggap sebagai tindakan melompat parti kerana ia berlaku selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), ketika tiada kerajaan yang memerintah.
Beliau berkata demikian kepada media selepas berucap di Program Jelajah Inspirasi DSSA bersama Rakyat N. 60 Tungku di dataran terbuka cenderawasih, Felda pagi Isnin.
“Siapa yang normalisasikan lompat-melompat? Kita sudah bubar dewan..tiada kerajaan. Langkah yang kita ambil ialah untuk menyatukan rakyat Sabah bukan kerana janji jawatan atau projek,” katanya.
Beliau berkats, penyertaan ahli baharu ke dalam Warisan tidak wajar dilihat sebagai usaha menormalisasikan budaya lompat parti kerana ia berlaku dalam situasi politik yang berbeza.
Katanya, langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha untuk menyatukan rakyat Sabah dalam satu gelombang politik berbeza.
Tindakan sesetengah ahli politik lain yang melompat daripada pembangkang ke kerajaan dari UMNO ke GRS dan seterusnya ke Gagasan Rakyat itu, beliau sifatkan sebagai lompat parti sebenar.
“Itu ertinya melompat daripada pembangkang masuk ke kerajaan. Tapi dalam hal ini tiada kerajaan pun. Ini bukan melompat tapi usaha menyatukan suara rakyat Sabah dalam satu gelombang,” ujarnya lagi.
Beliau turut menyelar pihak yang memperlekeh kemasukan ahli baharu ke Warisan sambil menegaskan bahawa penyertaan tersebut lahir daripada semangat perpaduan rakyat dan bukan kerana mengejar jawatan.
Terdahulu beliau menerima kemasukan seramai 1,500 ahli baharu daripada 45 cawangan yang menyertai Parti Warisan Sabah.
TAMAT

