WANITA TERSEPIT DALAM KEMALANGAN

Oleh: Syarmilah Salleh

KOTA BELUD, 21 Sept – Seorang wanita tersepit dalam kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan di Jalan Kampung Pandasan dekat sini petang tadi.

Anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan wanita tersebut manakala lapan mangsa lain yang terlibat keluar sendiri daripada kenderaan masing-masing.

Kemalangan itu nembabit dua kereta pacuan empat roda dan sebuah kereta MPV.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, kejadian yang dilaporkan pada jam 2.37 petang itu melibatkan sebuah pacuan empat roda bertembung dengan kereta MPV dan sebuah lagi pacuan empat roda.

Komander Operasi, PBK I Suffian Aban berkata, pasukan bomba memberikan rawatan awal sebelum menyerahkan dua mangsa kepada ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu dua lagi mangsa dibawa ke hospital menggunakan jentera EMRS Bomba untuk rawatan lanjut.

“Selebihnya hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa yang dibawa ke hospital termasuk seorang wanita berusia 35 tahun, seorang wanita (56), seorang lelaki (18) dan seorang lelaki (61).

Operasi yang melibatkan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud itu tamat sepenuhnya pada jam 3.50 petang selepas memastikan kawasan selamat.

TAMAT