WANITA BUKAN WARGANEGARA DITAHAN TERLIBAT PENIPUAN JUALAN MINYAK MASAK

LAHAD DATU, 5 OGOS 2025 (ISNIN) – polis menahan seorang wanita selepas disyaki terlibat dalam penipuan penjualan minyak masak bersubsidi di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Haji Dzulbaharin bin Haji Ismail berkata, tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu susulan beberapa aduan yang diterima daripada mangsa.

“Siasatan awal mendapati suspek bukan warganegara itu menawarkan jualan minyak masak bersubsidi dalam jumlah besar kepada mangsa, namun selepas pembayaran dibuat, suspek gagal menyerahkan bekalan yang dijanjikan dan dipercayai menggunakan wang tersebut untuk membayar hutang peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, suspek turut didapati tidak memiliki Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual seperti yang diwajibkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda.

TAMAT