sh@ Syarmilah Salleh
LAHAD DATU (18 JULAI): Waktu mencabar buat polis Lahad Datu apabila perlu menangani kes jenayah sosial.
Tiga kes di tiga tempat berasingan itu dan semuanya dilaku dalam tempoh beberapa jam bermula 17 Julai dan 18 Julai.
Kes pertama dilaporkan pada jam 2.00 petang apabila polis menahan seorang lelaki tempatan, 24, kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian atas talian pada 17 Julai di Lorong Lahad Datu.
Kes kedua pula membabitkan penangkapan seorang wanita tempatan, 21, dalam satu serbuan Ops Noda sekitar jam 10.30 malam di sebuah hotel di sini 17 Julai lalu.
Kes ketiga pula pada jam 3.06 awal pagi hari ini apabila seorang bayi yang masih bertali pusat dan masih hidup ditemui di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Burung Jalan Bakawali.
Bagi kes pertama. Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Haji Dzulbaharin Haji Ismail berkata polis merampas satu unit telefon pintar yang mengandungi aplikasi perjudian.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM100,000 dan penjara sehingga lima tahun jika sabit kesalahan.
Bagi kes kedua pula, beliau berkata suspek dipercayaikan menjalankan aktiviti pelacuran.
Siasatan mendapati suspek menawarkan khidmat seks melalui aplikasi MiChat dengan bayaran antara RM250 hingga RM350.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, beberapa kondom serta sejumlah wang tunai, katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya.
Manakala bagi kes ketiga pula, beliau memberitahu bayi tersebut dipercayai ditinggalkan oleh individu tidak dikenali.
“Bayi tersebut dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut. Keadaan bayi kini dilaporkan stabil,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi dengan niat untuk membuangnya secara kekal.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sehubungan itu Dzulbaharin menegaskan pihaknya memandang serius semua bentuk jenayah sosial yang boleh mengancam kesejahteraan masyarakat, khususnya melibatkan kes penderaan bayi, pelacuran dan perjudian.
“PDRM tidak akan berkompromi dalam tindakan terhadap mereka yang melakukan jenayah seperti ini demi keselamatan dan keharmonian komuniti setempat,” tegas beliau.

