Ustaz Abdul Somad Tekankan Belia Sebagai Pemangkin Ummah

LAHAD DATU, 19 Okt – Golongan belia diseru menjadi pemangkin kebangkitan ummah melalui kekuatan iman dan ilmu bagi membentuk masyarakat Islam yang berakhlak dan berdaya saing.

Seruan itu disampaikan oleh Prof. Dr. Ustaz Haji Abdul Somad Batubara ketika menyampaikan ceramah bertajuk “Belia Pemangkin Ummah” sempena Program Ziarah Dakwah Pantai Timur di Masjid Daerah Tungku, di sini, hari ini.

Menurut beliau, belia diibaratkan darah muda yang mengalir penuh tenaga dan semangat namun perlu dibimbing agar kekuatan itu menjadi aset kepada agama an bukannya sebagai ancaman kepada akhlak dan maruah.

“Belia ialah nadi kehidupan. Jika mereka dibentuk dengan iman yang kukuh dan ilmu yang benar maka kuatlah ummah. Tapi jika mereka lemah dalam pegangan, maka rosaklah masyarakat,” katanya.

Dalam ceramahnya, beliau menegaskan tiga “penyakit utama” yang perlu dielakkan oleh generasi muda iaitu arak dan perkara mengkhayalkan, zina serta ajaran sesat.

Katanya, iman adalah benteng utama untuk menahan diri daripada perkara maksiat manakala perkahwinan menjadi jalan halal menjaga maruah diri.

Beliau turut mengingatkan agar umat Islam berpegang teguh kepada Ahlus Sunnah Wal Jamaah serta memperkukuh ilmu aqidah, fiqah dan tasawuf bagi mengelak pengaruh ajaran sesat yang menyeleweng.

“Majlis ilmu perlu dihadiri sentiasa supaya aqidah kekal benar dan iman tidak mudah goyah. Inilah benteng sebenar umat Islam,” katanya.

Ceramah tersebut mendapat sambutan hangat daripada masyarakat tempatan khususnya generasi muda yang hadir memenuhi ruang masjid untuk mendengar syarahan penuh pengajaran itu.

TAMAT