TERMINOLOGI ‘KAWASAN PANTAI TIMUR SABAH’ DIGANTI DENGAN ‘KAWASAN SABAH TIMUR’

LAHAD DATU, 8 Okt – Komuniti maritim, pengamal media dan pengkaji disaran menggunakan terminologi “Kawasan Sabah Timur” bagi menggantikan istilah “Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah”.

Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Victor Sanjos berkata, penggunaan istilah baharu itu lebih tepat kerana merangkumi ketiga-tiga domain kawalan ESSCOM, iaitu laut, darat dan udara.

“Saya ingin memaklumkan kepada rakan-rakan media dan para pengkaji bahawa kawasan ini sering dirujuk sebagai Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah.

“Namun, mulai sekarang kita gunakan istilah ‘Kawasan Sabah Timur’ yang meliputi keseluruhan domain darat, laut dan udara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Victor menjelaskan, terminologi yang tepat bagi kawasan kawalan itu ialah Eastern Sabah Safety Zone (ESS Zone) atau dalam Bahasa Melayu, Kawasan Selamat Sabah Timur, dan bukannya “Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah”.

Beliau menegaskan, penggunaan istilah yang betul penting bagi menyeragamkan kefahaman serta imej strategik kawasan keselamatan di bawah tanggungjawab ESSCOM.

TAMAT