TANAH RUNTUH DI JALAN DATO TOBOBON: TIANG DAN KABEL ELEKTRIK TUMBANG, TIADA KEMALANGAN JIWA DILAPORKAN

KOTA KINABALU, 18 JUN 2025 – Satu kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Jalan Dato Tobobon menghala ke Kampung Tenggiling, Menggatal, Sabah, petang tadi.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 6.53 petang itu mengakibatkan tiang dan kabel elektrik tumbang di belakang rumah seorang penduduk.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas yang diketuai oleh Komander Operasi PBK II Saflan Bin Safri segera dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999. Jarak dari balai ke lokasi sejauh 15 kilometer, dan jentera bomba tiba di tempat kejadian pada jam 7.53 malam.

Seramai 10 anggota dikerahkan ke lokasi menggunakan sebuah jentera FRT dengan 7 anggota dan satu unit EMRS dengan 3 anggota. Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini.

Komander Operasi melaporkan bahawa tanah runtuh berlaku di belakang rumah pengadu dan menyebabkan tiang serta kabel elektrik tumbang. Bagi menjamin keselamatan, pihak bomba telah mengeluarkan arahan segera kepada penduduk berhampiran untuk berpindah ke kawasan selamat.

Selepas memastikan tiada lagi risiko bahaya, operasi di lokasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.16 malam.

TAMAT