TANAH RUNTUH: ANGKA KEMATIAN BERTAMBAH

Kejadian di kampung Marahang Tuntul, Papar

Oleh: Syarmilah Salleh

PAPAR (16 September) – Angka kematian akibat tanah runtuh di negeri ini bertambah tiga orang.

Kejadian pada 15 Seotember berlaku di Kampung Marahang Tuntul, Papar, apabila sebuah rumah tertimbus dalam kejadian awal pagi.

Sebelum ini kematian akibat tanah runtuh mencatatkan 10 orang dan kini bertambah kepada 13 orang.

Kejadian pertama berlaku pada petang Khamis lalu yang meragut nyawa seorang warga emas di Kampung Serapong Penampang.

Bagaimanapun 15 September merupakan hari berduka buat negeri ini apabila mencatatkan angka kematian yang tinggi.

Kampung Cendera Kasih Kolombong mencatatkan tujuh kematian dengan sebuah rumah terbabit.

Di Kampung Mook Papar yang melibatkan dua buah rumah mencatatkan dua kematian manakala di Kampung Marahang Tuntul juga di Papar yang melibatkan sebuah rumah, merekodkan tiga kematian.

Mengenai kejadian di Kampung Marahang Tuntul, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 9.20 pagi.

Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dikerah ke lokasi sejauh 13 kilometer dan tiba pada jam 9.34 pagi.

Menurut Komander Operasi, PBK I Imamat Bin Tawarid, kejadian tanah runtuh itu melibatkan sebuah rumah yang dihuni tiga individu.

Operasi mencari dan menyelamat telah dilaksanakan oleh anggota bomba bersama pasukan penyelamat dari pelbagai agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA.

Mangsa pertama berjaya ditemukan pada jam 4.20 petang diikuti mangsa kedua lima minit kemudian.

Mangsa ketiga dijumpai pada jam 8.45 malam. Kesemua mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut.

Tiga mangsa yang dilaporkan meninggal dunia terdiri daripada seorang Perempuan, 34 tahun dan dua kanak kanak berusia 6 tahun ( lelaki) dan 10 tahun (perempuan).

Operasi menyelamat diketuai oleh Komander Operasi Kanan, PPgB Rozlan Bin Osman, dengan bantuan seramai 16 anggota keseluruhan terdiri 8 anggota daripada BBP Papar dan 8 anggota daripada Unit Storm.

Turut hadir memberi pemantauan dan sokongan di lokasi adalah pegawai-pegawai kanan dari Ibu Pejabat JBPM Negeri Sabah, termasukPKPjB Mohd Pisar Bin Aziz (Pengarah JBPM Negeri Sabah), PgKB I Muhammad Taquiddin Victor Bin Doon, PKPgB Mohd Affendy Bin K Ramin, PgKB II Mohd Alfian Bin Salioh, PKPgB Mohd Faizal Bin Wahid, PKPgB Dunstan Peter danP BT II Mohd Kadzri bin Mohd Raus.

Jentera yang digunakan dalam operasi termasuk sebuah FRT dengan 7 anggota serta sebuah kenderaan utiliti (Vigo) dengan seorang anggota.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.05 pagi, 16 September 2025.

TAMAT