Oleh: Syarmilah Salleh
LAHAD DATU, 8 Sept – Empat lelaki warga Indonesia disyaki dalam kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah ditahan dalam tiga operasi berasingan di sekitar daerah ini semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Haji Dzulbaharin Haji Ismail berkata, hasil operasi berkenaan turut merampas syabu seberat 57.12 gram dengan nilai dianggarkan RM6,283.20.
Menurutnya, tangkapan pertama dilakukan oleh pasukan rondaan cegah jenayah Balai Polis Desa Kencana pada jam 11.05 pagi semalam di Jalan Embara Budi.
“Seorang lelaki berumur 26 tahun ditahan selepas pemeriksaan menemukan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.09 gram di dalam beg sandang hitam yang dibawanya. Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes kedua berlaku pada hari yang sama jam 6.58 petang apabila seorang lagi lelaki warga Indonesia berusia 26 tahun ditahan kerana disyaki memasukkan dadah ke dalam tubuh.
“Hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah,” jelasnya.
Katanya, dalam kes ketiga pula pada jam 9.35 malam, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Lahad Datu melaksanakan Op Tapis di Jalan Ulu Tungku.
“Sebuah kereta Proton Saga berwarna merah ditahan sebelum pemeriksaan menemukan bungkusan plastik hitam berisi 16 paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 57.03 gram. Dua lelaki warga Indonesia berusia 30 dan 45 tahun yang berada dalam kenderaan itu ditahan. Turut dirampas ialah kereta tersebut bersama dua unit telefon bimbit,” katanya.
Tambah beliau, kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
TAMAT