sh@ Syarmilah Salleh
LAHAD DATU, 15 Ogos – Umat Islam memenuhi Masjid Ar-Raudah di sini bagi mengikuti Majlis Solat Hajat Perdana, Bacaan Yasin dan Tahlil mendoakan Allahyarhamah Zara Qairina binti Mahathir, malam tadi.
Majlis yang bermula jam 6 petang hingga 8.30 malam itu diketuai Imam Rawatib Masjid Ar-Raudah, Hj. Mohd Fahmy Abd Rahman, yang juga Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Cawangan Lahad Datu.
Antara yang hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.62 Silam, YB Hj. Dumi Pg. Masdal; Pengerusi Masjid Ar-Raudah, Hj. Saari Arsad; Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Lahad Datu, ASP Sudin Tjinke; Ketua Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard, ASP Shariel Abdul Rahman; dan Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Lahad Datu, Ust. Mardi Ariffin.
Dalam slot solidariti selepas solat Isyak, Ust. Sudirman Moh. Saleng menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut selain menyeru agar masyarakat mengambil iktibar daripada tragedi yang menimpa Allahyarhamah.
“Solidariti ini telah merebak ke seluruh Sabah sebagai usaha mengadili kes kematian Zara Qairina. Semoga perhimpunan ini menjadi kesedaran agar tiada lagi kezaliman dilakukan, khususnya terhadap anak-anak,” katanya.
Majlis yang turut dihadiri kira-kira 50 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, mempamerkan plakad dan kain rentang bertulis #JusticeForZara dan Keadilan Untuk Zara Qairina.
Acara ini dianjurkan selaras arahan Pengarah JHEAINS agar semua masjid di Sabah mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin bagi memohon petunjuk kebenaran serta keadilan berhubung kes tersebut.
Program yang berjalan lancar di bawah pemantauan PDRM itu menjadi manifestasi sokongan padu masyarakat terhadap usaha mencari kebenaran dan keadilan buat Allahyarhamah Zara Qairina.
TAMAT