sh@ Syarmillah Salleh
LAHAD DATU, 29 Ogos – Seorang wanita maut manakala dua lelaki cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Bulatan hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu awal pagi ini.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PKPgB Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.42 pagi sebelum sebuah jentera bersama sembilan anggota digegaskan ke lokasi.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah kereta hilang kawalan lalu terbabas di tepi jalan. Terdapat tiga mangsa terlibat iaitu dua lelaki dan seorang wanita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, dua mangsa lelaki berusia 28 dan 31 tahun berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan pasukan bomba, manakala seorang mangsa wanita berusia 19 tahun tersepit di tempat duduk penumpang.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas RTA (Telescopic Ram) untuk mengeluarkan mangsa sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala dua lagi mangsa dibawa ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.48 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain di kawasan kejadian.
TAMAT