SEORANG MAUT, 11 CEDERA PARAH KEMALANGAN VAN DAN AMBULANS DI KINABATANGAN

Oleh: Syarmilah Salleh

KINABATANGAN, 15 Sept 2025 (Isnin) – Seorang maut manakala 11 lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah van dan sebuah ambulans di Jalan Paris 2, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.25 pagi itu, semua 12 mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba. Empat mangsa menaiki ambulans, manakala lapan lagi berada dalam van terbabit.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, seorang mangsa yang menaiki ambulans disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.

“Sebanyak 11 lagi mangsa mengalami kecederaan parah dan diberikan rawatan lanjut oleh pasukan perubatan yang hadir ke lokasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan bersama sebuah jentera FRT digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 10.25 pagi dan tiba 35 minit kemudian.

Operasi diketuai Komander Operasi, Mohd Nor Azmer Mat Shor Nasir, dengan kerjasama 12 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tambahnya, setelah memastikan lokasi selamat dan tiada risiko susulan, operasi ditamatkan pada jam 11.50 pagi.

TAMAT