Oleh: SYARMILAH SALLEH
LAHAD DATU : 30 Mac – UMNO Bahagian Lahad Datu mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap seorang penjual belon di Jalan Tuanku Abdul Rahman, yang tular di media sosial baru-baru ini.
Rakaman insiden tersebut memaparkan penjual belon itu dikasari sehingga terjatuh dan berguling di atas jalan raya, mencetuskan kemarahan dalam kalangan masyarakat.
Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul, menegaskan bahawa sebarang bentuk kekerasan terhadap rakyat, khususnya golongan yang mencari rezeki secara kecil-kecilan, adalah tidak boleh diterima dan bertentangan dengan nilai kemanusiaan serta keadilan.
“UMNO sentiasa berpegang teguh kepada prinsip membela agama, bangsa, dan tanah air. Perbuatan kasar dan tidak berperikemanusiaan seperti ini sama sekali bukan sebahagian daripada perjuangan UMNO. Kami menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa lawatan ke Kampung Desa Bajau, Lahad Datu, pada Jumaat, bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran yang kehilangan tempat tinggal dalam kejadian baru-baru ini.
Sharif Musa menegaskan bahawa UMNO sebagai sebuah parti yang telah sekian lama berperanan dalam pembangunan negara, tidak akan sesekali berdiam diri apabila rakyat diperlakukan dengan kezaliman sebegini.
“Sejak merdeka, UMNO komited dalam usaha memperkasa ekonomi rakyat, membasmi kemiskinan dan buta huruf. Maka, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk bersuara apabila rakyat dianiaya,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa sekiranya pihak berkuasa gagal mengambil tindakan sewajarnya, UMNO Bahagian Lahad Datu tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis demi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
“Penguatkuasaan undang-undang mesti dilaksanakan dengan penuh hemah serta menghormati hak asasi manusia. Kami berharap insiden seperti ini tidak akan berulang, dan pihak berkuasa dapat menjalankan tugas mereka secara lebih beretika dan berperikemanusiaan,” katanya lagi.
Lawatan dan penyampaian bantuan oleh UMNO Bahagian Lahad Datu kepada mangsa kebakaran di Kampung Desa Bajau adalah sebahagian daripada usaha berterusan parti dalam membantu rakyat yang ditimpa musibah.
TAMAT

