TAWAU – “Saya maafkan mereka, tetapi mereka perlu bertanggungjawab kerana ini pilihan mereka,” kata Siti Hamidah Jumari, 46 tahun, dengan suara sebak.
Kata-kata itu disuarakan ibu kepada media selepas Mahkamah Tinggi Tawau pada Khamis menjatuhkan hukuman terhadap 13 bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) yang didapati bersalah membunuh anaknya, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada Mac tahun lalu.
Dalam prosiding penetapan hukuman, Hakim Datuk Duncan Sikodol menjatuhkan penjara 30 tahun dan 12 sebatan ke atas seorang bekas pelajar berusia 20 tahun, manakala 12 lagi tertuduh yang masih di bawah umur dipenjara sehingga mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah mengikut Seksyen 97(2)(b) Akta Kanak-Kanak 2001. Semua tertuduh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Dalam prosiding sama, beberapa tertuduh melalui peguam mereka memohon maaf kepada keluarga Nazmie Aizzat, lebih mesra disapa ‘Ijat’, dan menzahirkan penyesalan terhadap perbuatan tersebut.
Siti Hamidah berkata, beliau redha atas kehilangan anaknya dan melihat hukuman yang dijatuhkan sebagai keadilan untuk Ijat.
“Benda ini pilihan dia orang. Kalau mereka tak pilih benda ini, kita tak akan berada di sini. Kalau mereka beri peluang, mungkin Ijat masih sekolah dengan mereka,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa isu buli tidak boleh lagi dipandang ringan kerana ia boleh meragut nyawa dan merosakkan masa depan seseorang.
Selain itu, Siti Hamidah memberi semangat kepada ibu Zara Qairina Mahathir agar terus kuat dan menegakkan keadilan untuk anaknya.
“Kita sebagai ibu kena kuat. Jangan dengar kata orang luar. Teruskan ke hadapan. Niat kita untuk anak kita. Keadilan untuk anak siapa lagi kalau bukan kita?” ujarnya.
Beliau juga menghargai permohonan maaf daripada ahli keluarga tertuduh sebelum ini serta sokongan pihak berkuasa, khususnya PDRM, sepanjang kes ini berjalan.
TAMAT