KENINGAU, 18 Sept. – Usaha mencari pekerja Sabah Electricity Sdn Bhd yang hilang sejak tiga hari lalu diteruskan hari ini.
Kejadian di Kampung Nuntunan dekat sini berlaku pada malam 16 September lau dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini memasuki hari ketiga.
Pekerja yang berusia 35 tahun itu bersama dua lagi rakan sekerja sedang menjalankan tugas sebelum kereta yang mereka naiki dihanyutkan oleh air yang deras.
Dua rakannya berusia 24 dan 38 tahun berjaya menyelamatkan diri.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, kejadian berlaku ketika mangsa bersama dua rakan sekerja cuba menyeberangi jambatan sebelum kereta mereka dihanyutkan arus banjir.
Komander Operasi, PBK I Severinus Sixtus Geofrey berkata, operasi SAR hari ketiga bermula jam 9 pagi dengan radius pencarian meliputi 40 kilometer sepanjang Sungai Pagalan. Pencarian turut difokuskan di kawasan Kampung Linsudan selepas penemuan kasut dipercayai milik mangsa kira-kira 21 kilometer dari lokasi kejadian.
“Unit dron turut digerakkan bagi membantu operasi pencarian yang melibatkan 9 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dengan sokongan agensi lain termasuk PDRM dan APM,” katanya.
Saksi awam sebelum ini melaporkan terlihat kelibat mangsa di Sungai Kepayan sekitar jam 1.06 pagi, 17 September, namun mangsa terus dihanyutkan arus deras. Mangsa sekali lagi kelihatan di Sungai Baginda beberapa minit kemudian tetapi gagal diselamatkan akibat keadaan arus yang terlalu kuat.
Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR akan diteruskan dengan penyelarasan pos kawalan operasi berpindah (PKTK) di Kampung Kaladakan.
TAMAT

