Remaja 15 Tahun Dikhuatiri Lemas, Disahkan Meninggal Dunia di Pantai Simpang Mengayau

sh@ Syarmilah Salleh

KUDAT, 31 Ogos – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditemui meninggal dunia ketika mandi-manda bersama keluarga di Pantai Simpang Mengayau, tengah hari tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 12.28 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat digerakkan ke lokasi.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 1.02 petang dan mangsa ditemui pasukan penyelamat lima minit kemudian, kira-kira 400 meter dari tepi pantai,” kata Komander Operasi, PBK I Mohd Najib Jasri.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 1.43 petang sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi yang turut dibantu oleh 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga petugas KKM itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 2 petang.

TAMAT