KOTA MARUDU, 12 Okt — Pasukan Bomba dan Penyelamat Kota Marudu berjaya memadam kebakaran melibatkan pusat pengumpulan sampah di Kampung Paka, di sini, semalam.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Deblie Mamoi, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.43 pagi sabtu, menerusi talian balai sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejauh 20 kilometer.
“Setibanya pasukan di lokasi pada pukul 9.16 pagi didapati kebakaran melibatkan kawasan pusat pengumpulan sampah seluas kira-kira dua ekar.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan hos salur bantu mula dengan bantuan dua buah jentera jengkaut Majlis Daerah Kota Marudu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, kerja-kerja ‘fire break’ turut dilaksanakan bagi mengelak api daripada merebak ke kawasan berhampiran.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Operasi diketuai oleh PBK I Muhhamad Dini bin Ghani bersama enam anggota BBP Kota Marudu dan turut dibantu pihak Majlis Daerah Kota Marudu.
Operasi dikawal sepenuhnya pada pukul 6.37 petang (11 Oktober) dan tamat sepenuhnya pada jam 8.00 pagi (12 Oktober 2025).
“Pasukan bomba kini berada dalam keadaan bersiap siaga sekiranya berlaku kemerebakan semula atau situasi tidak terkawal,” jelas Deblie.
TAMAT

