Oleh: Syarmilah Salleh
LAHAD DATU, 6 Sept – 150 orang menghadiri Program Jiwa Komuniti Madani Sembang Santai anjuran Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Masjid Nurul Jihad, Kampung Cocos, Segama, di sini hari ini.
Majlis disempurnakan Menteri Komunikasi dan Digital, Datuk Seri Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Lahad Datu dan Kalabakan.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Julina Johan; Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen@Benetty Mohd Dzul; Ketua Cabang PKR Lahad Datu, Romansah Lamin serta Ketua Kampung Cocos, Haji Hamid Kasuary.
Fahmi menegaskan komitmen kerajaan menambah baik capaian internet di kawasan pedalaman selain memastikan program bantuan Sara dimanfaatkan untuk pembelian barangan keperluan asas.
Mengenai kes arwah Zara Qairina, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan maklumat tidak sahih di media sosial.
Katanya, kerajaan sudah melaksanakan tiga permintaan keluarga mangsa iaitu siasatan oleh Bukit Aman, bedah siasat semula serta inkues yang dijangka selesai 30 September ini.
Beliau turut menekankan usaha kerajaan memperkukuh mekanisme menangani isu buli yang semakin banyak dilaporkan oleh ibu bapa di seluruh negara.
Pada sesi soal jawab, isu yang dibangkitkan termasuk dana komuniti Madani cadangan mewujudkan pusat NADI di Kg. Cocos, masalah sekolah dan air bersih di Tanjung Labian serta cadangan memperluas Jualan Rahmah MADANI.
Menjawab persoalan itu, Fahmi berkata setiap Komuniti Madani menerima RM10,000 untuk dimanfaatkan selain mengumumkan sembilan komuniti di daerah ini menerima sumbangan tambahan RM1,000 setiap satu
TAMAT

