LAHAD DATU, 11 Okt – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya merampas hasil sawit yang dipercayai diseludup dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM2,375,632 dalam satu operasi baru-baru ini.
Menurut Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri bin Ibrahim, kes berkenaan kini sedang disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Sawit Malaysia 2005 untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, PPM akan terus komited dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan hasil negara khususnya di kawasan perairan serta lokasi strategik di Sabah.
“Pasukan kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang dan akan mempertingkatkan rondaan serta risikan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara sentiasa terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Nazri turut menyeru orang awam agar menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan atau melanggar undang-undang negara.
PPM Wilayah 4 Sabah turut mengalu-alukan kerjasama berterusan daripada komuniti setempat dalam membantu pihak berkuasa memerangi jenayah penyeludupan di negeri ini.
TAMAT

