POLIS LAHAD DATU TAHAN DUA LELAKI FILIPINA POSITIF DADAH DALAM OP TAPIS

sh@ Syarmillah Salleh

LAHAD DATU, 3 Sept – Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Lahad Datu menahan dua lelaki warga Filipina dalam operasi Op Tapis di Jambatan Kampung Puyut, di sini, hari ini.

Dalam serbuan berasingan, dua suspek berusia 20 dan 53 tahun itu ditahan selepas didapati memiliki dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran berat keseluruhan 0.31 gram.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner HJ. Dzulbaharin bin HJ. Ismail berkata, tangkapan pertama melibatkan lelaki berusia 53 tahun yang didapati menyimpan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih dipercayai syabu seberat 0.15 gram.

“Manakala dalam tangkapan kedua, seorang lelaki berusia 20 tahun ditemui menyimpan satu paket plastik lutsinar berisi syabu seberat 0.16 gram yang diletakkan di dalam poket belakang seluar pendek biru yang dipakainya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai penganggur itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine. Mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana menggunakan dadah.

Menurut beliau, operasi itu mencerminkan komitmen berterusan polis khususnya IPD Lahad Datu dalam memerangi jenayah dadah di daerah ini.

TAMAT