David Chan bergambar bersama Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Datuk Azman Adam di Sicc hari ini.
KOTA KINABALU, 27 Oktober —Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah menggesa agensi penguatkuasaan agar lebih agresif dan tegas dalam melaksanakan tugas.
Ia bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem pentadbiran dan undang-undang, kata pengerusinya David Chan.
Beliau berkata, rakyat mahu melihat tindakan segera dan berkesan daripada pihak berkuasa, terutama dalam menangani isu-isu seperti penipuan pengguna, penyeludupan barang kawalan serta pelanggaran hak pengguna yang masih kerap berlaku.
“Penguatkuasaan perlu bersifat proaktif dan berterusan supaya rakyat yakin bahawa undang-undang dilaksanakan dengan adil dan tegas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mencadangkan supaya penguatkuasaan dilaksanakan secara bersepadu antara pelbagai agensi termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan keberkesanan tindakan di semua peringkat.
“Apabila rakyat melihat agensi kerajaan bekerjasama secara terbuka dan profesional, ia akan menambah keyakinan mereka terhadap kejujuran sistem penguatkuasaan di Sabah,” ujarnya.
David berkata, YPNM Sabah komited untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyalurkan maklumat dan aduan daripada pengguna, selain memperkukuh kesedaran awam terhadap kepentingan melindungi hak masing-masing.
“Penguatkuasaan bukan hanya untuk menghukum, tetapi juga untuk mendidik dan mencegah. Masyarakat perlu merasai bahawa hak mereka dilindungi dan suara mereka didengari,” katanya.
Gambar :

