KOTA BELUD: 9 Okt – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari keempat bagi mengesan dua pelancong warga China yang dilaporkan hilang di Pulau Mantanani sejak Sabtu lalu masih diteruskan dengan tumpuan di kawasan utara pulau berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk, berkata operasi dimulakan seawal jam 8 pagi dengan penyertaan pelbagai agensi keselamatan menggunakan pendekatan darat dan laut.
“Pasukan A menjalankan pencarian di kawasan hutan serta sepanjang pesisir pantai manakala Pasukan B menumpukan pencarian di kawasan coral dan tukun berhampiran Tanjung Utara Pulau Mantanani, iaitu lokasi penemuan cermin mata dipercayai milik mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi disertai 30 anggota bomba termasuk Pasukan Penyelam (PPDA) Zon Kudat seramai tujuh anggota, PPDA Zon Kota Kinabalu enam anggota serta Unit K9 dan Unit Dron masing-masing dua anggota.
Turut membantu dalam operasi ialah PDRM (33 anggota), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia – APMM (6 anggota), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia – APM (5 anggota) dan NGO tempatan (6 anggota).
Menurut Elge, operasi turut diketuai oleh PgB Mohd Hafizrul bin Junaidi sebagai Komander Operasi Kanan dan PKPgB Mohd Razali bin Ahmad @ Awang Ahmad sebagai Komander Operasi.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 6 Oktober lalu jam 9.25 pagi daripada Balai Polis Kota Belud yang memaklumkan kehilangan dua pelancong terbabit.
“Siasatan awal mendapati mangsa lelaki berusia 25 tahun dan perempuan 28 tahun menginap di sebuah resort pada 4 Oktober 2025 dan dijadualkan mendaftar keluar sehari kemudian.
Namun sehingga kini mereka tidak keluar dari pulau berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, barangan peribadi kedua-dua mangsa masih berada di dalam bilik penginapan mereka.
Operasi SAR diteruskan dengan bantuan aset darat dan laut termasuk empat pacuan empat roda (Vigo), dua kenderaan Urvan serta sebuah bot penyelamat bagi pencarian di sekitar perairan dan pesisir pulau.
Setakat petang ini, kedua-dua mangsa masih belum ditemui dan operasi akan diteruskan esok dengan tumpuan di kawasan pesisir utara serta dasar laut berdekatan lokasi penemuan bahan bukti.
Tamat