KOTA BELUD (7 OKTOBER): Operasi mencari dua pelancong China diteruskan pada hari ini.
Dua pelancong, 25 dan 28 tahun itu gagal dikesan keluar dari Pulau Mantanani sejak Ahad lalu.
Bagaimanapun laporan kehilangan kedua-duanya hanya dibuat pada 6 Oktober selepas usaha mengesan keduanya menemui kegagalan.
Dua Pelancong Warga China Dikhuatiri Hilang di Pulau Mantanani
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Kota Belud pada 6 Oktober jam 9.25 pagi bagi memaklumkan kehilangan dua pelancong tersebut.
Mangsa lelaki berusia 25 tahun dan wanita berusia 28 tahun itu dilaporkan menginap di sebuah resort di pulau itu pada 4 Oktober dan sepatutnya mendaftar keluar pada 5 Oktober.
Namun sehingga kini, kedua-duanya masih belum dijumpai, manakala barangan peribadi mereka masih berada di bilik penginapan.
Pasukan penyelamat terdiri daripada BBP Kota Belud dengan kekuatan 9 anggota diketuai oleh Komander Operasi Kanan PKPgB Mohd Razali bin Ahmad @ Awang Ahmad serta Komander Operasi PBT II Thomas Bolu, menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar pulau berkenaan.
Operasi turut disertai Unit PPDA Zon Kudat (7 anggota), Unit Drone Zon Kudat (2 anggota), serta agensi lain termasuk PDRM (5 anggota), PGA (5 anggota) dan APM (4 anggota).
Operasi SAR hari pertama dijalankan menggunakan kaedah pencarian permukaan air (Water Surface Search) di persisiran Pulau Mantanani dan ditangguhkan pada jam 6.00 petang.
Pada hari kedua operasi, hari ini, pasukan penyelamat berlepas ke Pulau Mantanani pada 9.59 pagi.
Ketibaan direkodkan pada 10.49 pagi diikuti taklimat ringkas dan pembahagian tugas darat serta laut.
Pasukan Bomba, PGA, PDRM, APM dan penduduk kampung membentuk dua kumpulan pencarian di kawasan hutan, manakala pasukan PPDA dan penyelam PADI menjalankan pencarian dasar laut menggunakan dua bot penyelam bermula jam 2.30 petang.
Sebuah helikopter AW139 (9M-PMA) Callsign Udara 35 milik PGU/PDRM turut digunakan untuk pemantauan udara di kawasan sekitar.
Sehingga kini kedua-dua mangsa masih belum ditemui dan operasi pencarian diteruskan dengan kekuatan keseluruhan 21 anggota menggunakan tiga jentera iaitu tiga kenderaan jenis Vigo dan sebuah Urvane.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ketua Balai BBP Kota Belud, PPgB Elge Bakuk di talian 017-6015922 bagi membantu siasatan.
JBPM memaklumkan bahawa operasi SAR akan diteruskan dari semasa ke semasa sehingga kedua-dua mangsa ditemui.
TAMAT