LIMA INDIVIDU TERMASUK SEORANG JURUTERA PBT DITAHAN SPRM SABAH

sh@ editor

SANDAKAN (23 JULAI): Lima orang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM200,00.

Lima orang itu termasuklah jurutera, penolong jurutera, kakitangan dan bekas kakitangan pihak berkuasa tempatan ditahan kerana menerima rasuah itu daripada beberapa kontraktor sejak 2022.

Perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini terhadap ketiga-tiga lelaki dan dua wanita yang berusia lingkungan 30 hingga 50-an dikeluarkan oleh Majistret Yong Ching Hong di Mahkamah Majistret Sandakan, pagi tadi.

Menurut sumber SPRM, kesemua suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah sekitar jam 7 malam semalam.

“Hasil maklumat diterima, pegawai dan kakitangan PBT terbabit dipercayai menerima rasuah menerusi pindahan wang ke akaun peribadi masing-masing sebagai balasan membantu kontraktor mendapatkan sebut harga dan tender kerja-kerja PBT dari tahun 2022 hingga kini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

TAMAT