sh@ Syarmilah Salleh
LAHAD DATU: 25 Ogos – Lima remaja ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pelacuran menggunakan aplikasi on line.
Kesemua remaja yang berusia 18 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah hotel di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Haji Dzulbaharin Haji Ismail berkata, serbuan kira-kira jam 9.30 malam itu dilakukan menerusi Ops Noda oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah.
“Kesemua yang ditahan berusia 18 tahun terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita. Siasatan awal mendapati kegiatan ini dipercayai bermula sejak Mei lalu dengan menggunakan aplikasi MiChat bagi mendapatkan pelanggan, dengan bayaran antara RM150 hingga RM300 bagi setiap langganan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barang termasuk telefon pintar, kondom, resit hotel serta kunci bilik yang digunakan untuk aktiviti berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 372A/372B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
TAMAT