LELAKI TIDAK SEDARKAN DIRI DIPERCAYAI TERHIDU GAS

Kota Kinabalu: 20 Ogos -Seorang lelaki tidak sedarkan diri selepas dipercayai terhidu gas berbahaya ketika berada di sebuah kapal pembinaan di KKIP Sepanggar, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8.49 pagi itu, mangsa yang belum dikenal pasti identitinya dilaporkan pengsan sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, seramai 12 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba Kota Kinabalu digegaskan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya pasukan di lokasi pada jam 9.18 pagi, seorang mangsa lelaki didapati tidak sedarkan diri akibat terhidu gas. Pasukan Hazmat diketuai PPgB Mohammad Hannis Bin Moktar kemudian melakukan pemeriksaan menggunakan alat pengesan Chemical Diver dan mendapati terdapat gas Hidrogen Sulfide (H₂S) di dalam tong ikan.

“Pasukan seterusnya melaksanakan proses nyahcemar serta pengaliran udara sebelum memastikan keadaan benar-benar selamat. Operasi dikawal sepenuhnya pada jam 10.19 pagi dan ditamatkan pada jam 10.39 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Turut berada di lokasi, polis dan pegawai perubatan KKM bagi membantu operasi.

TAMAT