BELURAN, 21 Ogos – Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas keluar ke kebun berhampiran rumahnya di Kampung Bukit Besi sejak pagi Isnin lalu.
Mangsa, Jusli bin Kiple, 48, difahamkan keluar ke kebunnya kira-kira 500 meter dari rumah pada jam 6 pagi, 18 Ogos lalu, namun tidak pulang ke rumah sehingga malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, PPgB Edoen Macheal berkata, usaha awal mencari mangsa telah dilakukan oleh ketua kampung dan penduduk pada 19 Ogos, namun gagal.
“Balai Bomba Beluran menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran pada jam 8.41 pagi semalam (20 Ogos) berhubung kehilangan mangsa.
“Seramai empat anggota bomba bersama agensi lain iaitu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta penduduk kampung terlibat dalam operasi mencari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi hari kedua (21 Ogos) dimulakan pada jam 10 pagi dengan memberi tumpuan di kawasan kebun milik mangsa, namun setakat jam 5 petang, mangsa masih belum dijumpai.
“Operasi ditangguhkan sementara dan akan disambung semula esok pagi,” katanya.
TAMAT

