sh@ Syarmillah Salleh
LAHAD DATU: 19 Julai 2025 – Seorang lelaki ditahan dalam satu operasi polis selepas didapati memiliki dadah jenis syabu seberat lebih 50 gram dalam kejadian di kawasan pesisir pantai Jalan Pantai di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Hj Dzulbaharin Hj Ismail berkata, tangkapan dibuat oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Lahad Datu yang diketuai oleh Inspektor Romi Asparin kira-kira jam 11.30 pagi.
Suspek yang berada dalam sebuah bot berwarna kuning berhampiran tandas awam dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan,.
Pemeriksaan terhadap lelaki itu menemukan satu beg silang merah bertulis “SUPREME” yang disilang di badannya. Pemeriksaan lanjut ke atas beg tersebut menemukan satu sampul surat putih berjalur merah-biru bertulis By Air Mail Par Avion yang mengandungi 22 paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi hablur jernih disyaki syabu seberat 51.68 gram.
Turut ditemukan, satu paket plastik mengandungi sepuluh gulung kertas timah (foil) yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penagihan.
“Ujian saringan awal juga mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya.
Nilai anggaran rampasan dadah tersebut adalah RM5,684.80.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana penggunaan dadah berbahaya.
Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.
TAMAT