sh@ Syarmilah Salleh
LAHAD DATU, 18 Ogos 2025 – Polis Lahad Datu menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun selepas disyaki mencabul seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di kawasan perumahan pekerja sebuah ladang, di sini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Haji Dzulbaharin bin Haji Ismail berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa mendakwa dirinya telah dicabul oleh suspek yang dikenalinya sejak berusia 10 tahun.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Lahad Datu berjaya menangkap suspek di sebuah lokasi di sini pada 18 Ogos sekitar jam 10.40 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pihak polis akan membuat permohonan reman terhadap suspek di Mahkamah Lahad Datu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
TAMAT

