sh@ Syamilah Salleh
LAHAD DATU: 17 Julai – Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Abdul Razak bin Abdul Majid hari ini mengadakan lawatan kerja rasmi ke Tapak Projek Battery Energy Storage System (BESS) di PMU 275kV/132kV, Jalan Dam, Lahad Datu, bagi meninjau perkembangan semasa pembinaan sistem penyimpanan tenaga berkapasiti tinggi pertama seumpamanya di Sabah.
Turut mengiringi beliau ialah barisan pengurusan tertinggi Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SE), termasuk Datuk Ir. Ts. Mohd Yakoob bin Jaafar (Ketua Pegawai Eksekutif SE), ahli lembaga pengarah SE, serta wakil kontraktor utama projek, MSR Green Energy Sdn. Bhd. (MSR-GE).
Lawatan ini menyaksikan Tan Sri Abdul Razak meninjau kemudahan utama tapak, termasuk unit storan bateri, pusat pemantauan bersepadu dan sistem kawalan pintar, serta menerima taklimat teknikal oleh Pengurus Tapak, Ir. Ts. Qaddafi Abdulah Bejerai.
Antara fungsi utama sistem BESS yang diketengahkan ialah:
Penyimpanan tenaga daripada sumber boleh diperbaharui (solar & angin);
Bekalan kuasa sandaran ketika gangguan elektrik;
Fungsi UPS kepada kawasan terpencil;
Penstabil grid (frekuensi & voltan);
Pengurangan beban semasa waktu puncak.
Projek BESS yang dimulakan pada September 2024 ini dibangunkan dengan kos sebanyak RM645 juta dan dijangka siap Julai 2025, sebelum beroperasi sepenuhnya pada Ogos 2025. Projek ini dirancang untuk meningkatkan margin rizab tenaga Sabah, khususnya di kawasan Pantai Timur seperti Tawau, Lahad Datu dan Sandakan, yang sering mengalami gangguan bekalan.
Menurut TNB, pelaksanaan projek ini membuktikan komitmen pihaknya bersama SE dalam memastikan sistem bekalan tenaga yang lebih cekap, stabil dan mampan untuk rakyat Sabah sejajar dengan pembangunan ekonomi negeri.
TAMAT