SABAH HEADLINES: SYARMILAH SALLEH
15 MAC 2025
LAHAD DATU :Pemilihan parti PKR peringkat Cabang yang dijadualkan pada April depan diyakini bakal membawa pembaharuan dalam landskap politik terutamanya penglibatan kalangan generasi muda.
Bekas Naib Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Silam, Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin berkata,penglibatan pemimpin muda dalam politik negara semakin penting bagi memastikan generasi ini bukan sekadar menjadi pemerhati, tetapi turut berperanan sebagai penyelesai masalah dalam kepimpinan negara.
Melihat landskap politik pada masa kini kata Syafiq golongan anak muda juga perlu diketengahkan sebagai seorang pemimpin.
“Saya lihat juga, dalam era kepimpinan MADANI ini, banyak anak muda menjadi pemimpin dan wakil rakyat,” katanya kepada media selepas program berbuka puasa dan penamaan calon pemilihan PKR Cabang Silam sesi 2025-2028.
Syafiq yang menyertai PKR pada 2023, berkata, pencalonannya bagi jawatan Ketua Cabang adalah sebahagian daripada pendekatan baharu dalam memperkasa kepimpinan muda khususnya di Parlimen Lahad Datu yang masih kekurangan pemimpin muda.
Saya berharap sebagai calon termuda, mungkin di seluruh Malaysia.. ia menjadi nafas baru sebagai landskap politik di Sabah khususnya Lahad Datu,” katanya.
Dalam pada itu PKR memutuskan pencalonan jawatan-jawatan Ahli Jawatankuasa Cabang, Wanita Cabang dan AMK Cabang ditetapkan bermula hari ini hingga 16 Mac sementara pemilihan ditetapkan pada 11 hingga 20 April.
