KOPAN TERUS KUKUHKAN EKONOMI AHLI MELALUI TERNAKAN

Jalie Mohamad

SANDAKAN: 26 Okt – Koperasi Pembangunan Tanah Pergaulan Anak Negeri Sandakan Sabah Berhad (KOPAN) telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan ke-34 di Sandakan.

Seramai 119 anggota koperasi yang hadir.

Pengerusi KOPAN, Hj Abdul Rahman Abdullah Salleh merakamkan penghargaan kepada semua anggota yang sentiasa memberi sokongan terhadap perkembangan koperasi.

Beliau berharap sokongan yang padu dan berterusan akan diberikan oleh ALK dan semua anggota.

Antara kejayaan besar yang dibentangkan dalam mesyuarat kali ini ialah pelaksanaan projek ternakan ayam secara besar-besaran di Batu 12, Sungai Manila, Sandakan, yang menjadikan KOPAN sebagai koperasi pertama di Sabah mengusahakan ternakan ayam sebanyak 60,000 ekor dan seterusnya dijangkakan penternakan sehingga 110,000 ekor keatas.

Projek ini telah berjaya mencatat keuntungan bersih sebanyak RM415,000 setahun hasil daripada penjualan ayam, sekaligus membuktikan keupayaan KOPAN dalam memperkukuh ekonomi ahli dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan.

Kejayaan ini selaras dengan matlamat KOPAN untuk terus memperkasakan pembangunan sosioekonomi anak negeri Sabah Berhad, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan kepada Anggota dan masyarakat setempat. Dalam Mesyuarat Agung tersebut juga, anggota Lembaga Koperasi (ALK) mengusulkan urusniaga kedua iaitu pengoperasian kilang air minuman botol yang juga mampu menjana pendapatan kepada Koperasi disamping membuka peluang pekerjaan kepada anggota dan anak-anak.

Tamat