LAHAD DATU, 22 Okt —Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) terus menjadi antara inisiatif kerajaan paling berkesan dalam menyediakan kediaman selesa kepada rakyat berpendapatan rendah khususnya di kawasan luar bandar.
Bagi Parlimen Lahad Datu sebanyak 40 unit rumah baharu dan 168 unit rumah baik pulih telah dilaksanakan di bawah program PPRS yang disalurkan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Giat MARA Sabah menjadi antara agensi pelaksana utama bagi program berkenaan termasuk pelaksanaan Program Selanggara Elektrik Rumah Impian (SERI) yang turut memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat.
Pengarah Giat MARA Sabah, Azizudin A. Aziz, berkata semua projek berkenaan dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan hasilnya menepati piawaian yang ditetapkan dan benar-benar memberi manfaat kepada penerima.
“Kami pastikan setiap rumah dibina dan dibaik pulih mengikut piawaian serta strategi pelaksanaan yang ditetapkan supaya manfaatnya benar-benar dirasai oleh penduduk luar bandar,” katanya kepada media selepas melawat dan menyerahkan kunci rumah PPRS di Kampung Teluk Suaion, Kampung Sapagaya dan Bukit Belacon, Segama, pagi tadi.
Menurut beliau, Giat MARA Sabah komited memastikan semua projek pembinaan dan baik pulih rumah di bawah PPRS disiapkan sepenuhnya menjelang tahun 2025.
“Kita berharap semua kontraktor yang dilantik akan terus mematuhi standard kerja dan jadual pelaksanaan.
“Insya-Allah..semua rumah di bawah projek ini akan siap dalam tempoh yang ditetapkan,” ujarnya.
Beliau menambah, Giat MARA Sabah bersedia menerima pelaksanaan tambahan projek baharu bagi tahun 2026 tertakluk kepada keutamaan dan perancangan KKDW.
Selain PPRS, Program Selanggara Elektrik Rumah Impian (SERI) turut dijalankan bagi memberi peluang kepada pelatih Giat MARA menjalani latihan secara in-situ atau di lokasi sebenar rumah penerima bantuan.
“Latihan in-situ ini memberi pengalaman kerja sebenar kepada pelatih dalam bidang pembaikan dan penyelenggaraan elektrik, selain manfaatnya terus dirasai oleh penduduk rumah berkenaan,” katanya.
Azizudin turut menzahirkan penghargaan kepada KKDW, kepimpinan UMNO Lahad Datu serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.
“Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan KKDW dalam melaksanakan inisiatif mampan bagi mempertingkat taraf hidup penduduk luar bandar,” katanya.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Pegawai Tugas Khas kepada Menteri KKDW, Datuk Maizatul Akmam Ahmad Alawi dan Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa bin Sharif Mabul.
TAMAT

