KERETA TERBAKAR SELEPAS BERTEMBUNG LORI, SEORANG MAUT DI LAHAD DATU

Oleh: Syarmilah Salleh

Lahad Datu, 19 Sept – Seorang lelaki berusia 24 tahun maut manakala dua lagi cedera dalam insiden kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori tiga tan di simpang Sekolah Kebangsaan (SK) Sandau, petang kelmarin (Khamis).

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Bin Rashid memaklumkan
pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.20 petang sebelum sebuah jentera FRT bersama lapan anggota bergegas ke lokasi sejauh 37 kilometer.

“Sebaik tiba didapati sebuah kereta terbakar 100 peratus selepas bertembung dengan sebuah lori.

Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos reel,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa yang maut dipercayai pemandu kereta berkenaan telah dikeluarkan orang awam sebelum kenderaan itu terbakar sepenuhnya.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

Sementara itu, dua mangsa lain berusia 24 dan 34 tahun yang menaiki lori tiga tan mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Operasi yang turut dibantu oleh tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga pegawai KKM itu dikawal sepenuhnya pada jam 4.28 petang sebelum ditamatkan 10 minit kemudian.

Kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

TAMAT