Oleh: Syarmillah Salleh
LAHAD DATU, 7 Sept – Ketua Cabang PKR Lahad Datu, Romansa Lamin menegaskan Kerajaan Perpaduan Madani di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim komited menjaga kebajikan rakyat, khususnya di Pantai Timur Sabah.
Beliau berkata demikian pada Majlis Komuniti Segama Merdeka Madani 2025 di Bilik Gerakan Utama Pilihan Raya Palm Height di sini, yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin dan barisan pimpinan cabang PKR.
Romansa menekankan lawatan Datuk Azman ke DUN Segama sebagai bukti keprihatinan kerajaan selain menyorot projek Pan Borneo yang dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun, memberi akses jalan raya lebih baik kepada penduduk tempatan.
Beliau turut menekankan impak positif bantuan tunai bulanan kerajaan kepada rakyat luar bandar termasuk penduduk Segama yang menerima sumbangan sehingga RM100 sebulan membantu meringankan beban kehidupan harian mereka.
Majlis itu menyaksikan lebih 500 penerima menerima sumbangan sempena Bulan Kemerdekaan daripada Datuk Azman bagi pihak Kerajaan Madani sebagai tanda perhatian kerajaan terhadap rakyat di DUN Segama.
TAMAT