sh@ Syarmilah Salleh
SEMPORNA, 18 Ogos – Deretan tiga buah kedai dua tingkat di Jalan Seri Melor Tinagayan, Semporna, musnah dalam kebakaran malam tadi.
Menurut Komander Operasi, Mohd Shukri Bin Mohd Hamsah, panggilan kecemasan berhubung insiden itu diterima melalui MERS999 pada jam 5.53 petang, sebelum jentera pertama daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna tiba di lokasi pada jam 6.01 petang.
“Kebakaran melibatkan bangunan kedai kekal berkeluasan 60 x 30 kaki yang terbakar 90 peratus manakala sebuah klinik pergigian di tingkat atas turut terbakar kira-kira 50 peratus,” katanya.
Seramai 49 anggota bomba daripada BBP Semporna, BBP Air Semporna dan BBP Kunak dikerahkan bersama empat jentera termasuk FRT, EMRS dan sebuah kenderaan utiliti.
Operasi turut mendapat bantuan daripada PDRM (10 anggota), SESB (6 anggota), Jabatan Air Sabah (2 anggota) dan APM (3 anggota).
Pasukan bomba berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air disebabkan tekanan rendah pili bomba.
Bagaimanapun bantuan lori tangki milik Jabatan Air Sabah yang tiba pada jam 8.30 malam membolehkan operasi pemadaman dilaksanakan menggunakan tiga aliran sepanjang 300 kaki dengan enam pancutan.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.19 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.52 tengah malam.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
TAMAT

