JENTERA WANITA GRS SIAP SEDIA HADAPI PRN KE-17

Azizah bersama barisan Wanita GRS semasa Mesyuarat Wanita GRS di SICC hari ini.

KOTA KINABALU, (20 Oktober): Peranan wanita bukan sekadar penyokong tetapi turut penting dalam mendekati pengundi muda dan wanita luar bandar.

Wanita juga berperanan penting dalam merangka strategi komunikasi dan pengurusan data, kata Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun di sini.

“Wanita GRS bukan sahaja bersedia dari segi tenaga dan organisasi, malah bersemangat tinggi untuk memastikan kemenangan gabungan ini terus terpelihara.

“Kita mahu suara wanita Sabah terus menjadi tulang belakang kepada kestabilan politik negeri,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Ahad lalu.

Beliau menegaskan bahawa jentera wanita parti kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Beliau berkata, 28 ribu jentera wanita GRS di peringkat bahagian dan cawangan telah digerakkan lebih awal bagi memastikan persiapan logistik, strategi serta gerak kerja kempen dilaksanakan secara tersusun dan menyeluruh di seluruh negeri.

“Kita mahu wanita tampil sebagai ejen penyatu dan penerang kepada dasar-dasar kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor. Wanita GRS akan memastikan mesej pembangunan dan kestabilan politik sampai ke akar umbi,” katanya.

Azizah turut mengajak seluruh ahli wanita GRS untuk terus bekerja dalam semangat muafakat dan disiplin tinggi, serta menolak sebarang bentuk fitnah atau propaganda yang boleh menggugat perpaduan gabungan tersebut.

Kekuatan GRS, katanya, terletak pada kesatuan dan keikhlasan berkhidmat untuk rakyat Sabah.

“Inilah masa untuk kita tunjukkan kesetiaan dan kebersamaan dalam memastikan mandat rakyat terus kekal bersama GRS,” katanya.

Tamat